Oleh Azman Zakaria-Berita Harian
JADI TUMPUAN: Abdullah melambai ke arah pelajar selepas merasmikan kampus induk Kolej SEGi Malaysia di Kota Damansara, semalam |
PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau belum membuat keputusan muktamad mengenai senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan depan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, sebarang kenyataan mengenai pencalonan yang dibuat mana-mana pemimpin termasuk Menteri Besar dan Ketua Menteri, tidak boleh dianggap muktamad.
Katanya, beliau juga belum memutuskan kedudukan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri sama ada kekal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau bertukar ke Parlimen.
"Belum dimuktamadkan. Saya belum lagi memuktamadkan senarai calon. Tiada senarai muktamad lagi.
"Biarlah dia nak buat (kenyataan)... mai kat saya nanti, saya tukar pula... baru dia kelam-kabut," katanya pada sidang media selepas merasmikan kampus induk Kolej SEGi Malaysia di Kota Damansara di sini, semalam.
Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang sudah 18 tahun menjadi Ketua Menteri, mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen, manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada akan bertanding kerusi Parlimen atau DUN.
Abdullah berkata, menjelang pilihan raya memang ada orang yang sentiasa cuba melobi untuk menjadi calon.
"Bagaimanapun, senarai calon belum lagi ditetapkan, siapakah calon dan di mana mereka akan bertanding," katanya.
Perdana Menteri berkata, calon BN akan hanya diumumkan apabila beliau selesai mengkaji senarai nama yang dicadangkan untuk bertanding dan manifesto BN juga diumumkan kemudian.
Beliau turut menafikan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menemuinya semalam untuk menyerahkan senarai nama calon BN bagi negeri itu.
Mengenai kereta Dr Mohamad Khir yang dilihat berada di Putrajaya semalam, Perdana Menteri berkata: "Kalau dia di Putrajaya, tidak bermakna dia jumpa saya."
No comments:
Post a Comment