24 February 2008

MSC BERJAYA TINGKAT BUMIPUTERA DALAM ICT





Program BITE, TAP sejak 2005 galak pembangunan usahawan

KORIDOR RAYA Multimedia (MSC) Malaysia telah berjaya dalam misinya meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi pelbagai program yang dikendalikannya.

Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata projek itu melahirkan 464 syarikat Bumiputera berstatus MSC Malaysia daripada jumlah keseluruhan 1,900 syarikat berstatus MSC dalam dalam tempoh dua tahun sejak program pembangunan Pembangunan Usahawan Tekno Bumiputera (BITE) dan Program Akademi Usahawan Tekno (TAP) diperkenalkan.


"Walaupun bilangan itu kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan, ia adalah peningkatan 40 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, MDeC sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan MSC Malaysia, telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berteraskan ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Ekonomi) menjelang 2020.

"Bagi mencapai matlamat ini, salah satu fokus MSC Malaysia adalah untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ICT melalui pelbagai program yang bukan saja dapat mencungkil usahawan muda di kalangan Bumiputera, malah ia juga mampu meningkatkan daya saing syarikat ICT Bumiputera yang sedia ada," katanya.

Badlisham berkata, program BITE dan TAP diwujudkan sejak 2005 dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera.


Selain bidang perisian, katanya bidang Multimedia Kreatif kini menjadi tumpuan usahawan Bumiputera terutama golongan muda seperti Les Copaque Sdn Bhd yang menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa seperti Geng The Series dan Upih dan Lilin.

Les Copaque diasaskan oleh empat graduan Universiti Multimedia (MMU) dan pernah memenangi pertandingan antarabangsa dengan hasil rekaan animasi mereka.

Bagi mencungkil bakat muda, Badlisham berkata, MSC Malaysia mengadakan pusat inkubator seperti di Kuala Lumpur Sentral bagi membantu penyediaan Rancangan Perniagaan, mendapat pembiayaan awal dan juga pembangunan perisian, sejajar dengan sasaran bagi meningkatkan lagi pembabitan Bumiputera dan graduan dalam bidang keusahawanan ICT.

Katanya, MSC Malaysia Cybercity, di Pulau Pinang turut membangunkan Pusat Inkubator Induk dengan kerjasama Penang Development Corporation (PDC) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada akhir tahun lalu, dua makmal yang dikenali sebagai 'Business Lab' dan 'Tech Lab' diperkenalkan bagi menaik taraf Pusat Inkubator Induk. Bernama

No comments: